×

WAKTU OPERASI PEJABAT

Isnin : 9.00am - 5.00pm
Selasa : 9.00am - 5.00pm
Rabu : 9.00am - 5.00pm
Khamis : 9.00am - 5.00pm
Jumaat : 9.00am - 5.00pm
Sabtu : TUTUP
Ahad : TUTUP

WAKTU OPERASI MUZIUM

Isnin : TUTUP
Selasa : 9.00am - 5.30pm
Rabu : 9.00am - 5.30pm
Khamis : 9.00am - 5.30pm
Jumaat : 9.00am - 5.30pm
Sabtu : 9.00am - 5.30pm
Ahad : 9.00am - 5.30pm

FORGOT YOUR DETAILS?

GALERI WARISAN PORTUGIS

Makanan Portugis Melaka

Terdapat banyak menu makanan warisan masyarakat Portugis di Melaka yang bertahan sehingga kini. Antara masakan yang terkenal ialah kari dabel, ‘smur’ dan ‘ambali’. Makanan-makanan lain yang enak ialah seperti ‘feng’, ‘seku’, ‘muleh’, ‘croma’, ‘singang’ dan ‘pikerdel’. 

Bagi makanan hasil laut pula terdiri daripada ‘baked shakap’ iaitu ikan yang dibakar bergaul tepung di dalam daun pisang, ‘kambrang frisi ku tamber inuk’ pula adalah udang berempah yang dimakan bersama air asam jawa, ‘beef vindalo’, dan ‘baked pasi’. Manakala bagi kuih-muih pula seperti ‘kek spunch’, ‘pang susie’, ‘kanji chacha’, tart, ‘sesagong’, ‘aga-aga’, ‘dose de oves’, ‘bibingka koku’, pulut tatal, apom bakua, pulut urap, ‘kacang ku jagre’, pulut serek kaya, putugal, goreng sagu dan lain-lain.

Kacang Ku Jagre

Bahan-bahan untuk membuat ‘kacang ku jagre’ ialah 500 gm kacang merah, 150 gm gula Melaka dan 50 gm kelapa parut. Cara memasaknya pula ialah dengan merendam kacang merah semalaman. Seterusnya kacang merah direbus sehingga lembik. Kemudian gula Melaka dicairkan dengan menuang sedikit air panas. Langkah seterusnya campurkan gula Melaka bersama kacang merah yang telah direbus dan dilenyek. Akhir sekali gaulkan kelapa parut dengan garam secukup rasa.

Pulut Serek Kaya

Untuk membuat ‘pulut serek kaya’ terdapat dua jenis bahan iaitu untuk membuat pulut dan juga kaya. Bagi bahan pulut, yang diperlukan ialah 500 gm pulut, 300 ml santan pekat dan secubit garam. Manakala bagi bahan kaya pula ialah 10 biji kuning telur ayam kampung, 200 gm gula, 200 ml santan pekat, sebatang serai dan secubit gula.

Cara memasak pulut ialah dengan mengukusnya selama 15 minit kemudian pulut dikeluarkan dan digaul bersama santan dan garam. Seterusnya kukus semula pulut tersebut sehingga masak. Bagi membuat kaya pula, campurkan santan dan gula lalu dikacau sehingga larut kemudian masukkan garam. Seterusnya masukkan telur dalam campuran santan dan kacau dengan menggunakan batang serai. Kemudian, bekas campuran tadi diletakkan di atas air yang sedang mendidih sambil dikacau dengan batang serai sehingga pekat dan masak.

Putugal

Bahan-bahan bagi membuat kuih ‘putugal’ ialah 2 kg ubi kayu, 1 kg kelapa putih, 1 kg pisang, 150 gm gula tebu, 10 keping bunga telang dan garam secukup rasa. Cara memasaknya pula dimulakan dengan membersihkan ubi kemudian diparut. Ubi kemudiannya diperah dan air perahan dibuang sedikit. Ubi yang telah diparut digaulkan dengan sedikit garam dan dibahagikan dua. Seterusnya setengah bahagian dicampurkan dengan air bunga telang. Kemudian, ubi parut yang berwarna biru bunga telang diletakkan di atas loyang kemudian dilapiskan dengan hirisan pisang dan kemudian dilapisi sekali lagi dengan ubi parut putih.

Kemudian, ubi direbus sehingga masak. Apabila telah sejuk, ubi dipotong dan digolek dengan kelapa yang dicampur gula dan sedikit garam.

Goreng Sagu

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kuih ‘goreng sagu’ ialah 500 gm sagu mata ikan, 2 biji kelapa putih, 150 gm gula tebu, sedikit garam dan minyak untuk menggoreng. Cara membuat kuih ini amat mudah iaitu gaulkan semua bahan-bahan iaitu sagu yang telah dibasuh dengan kelapa, gula tebu, garam dan biarkan selama setengah jam. Seterusnya kepalkan campuran tadi berbentuk bulat dan goreng dalam minyak dengan api yang sederhana. Kuih ini kebiasaannya dibuat semasa terdapatnya kematian.

Bibingka Koku

Bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan kuih ini ialah 3 cawan tepung gandum, 1 cawan gula tebu, 1 cawan gula Melaka, 400 ml santan pekat, 1 cawan air, 3 biji telur, sedikit garam, sedikit mentega dan ½ cawan kelapa putih. Cara memasaknya ialah dengan memasukkan semua bahan kecuali mentega dan kelapa ke dalam pengisar dan kisar perlahan-lahan sehingga sebati. Kemudian gaulkan adunan tersebut dengan kelapa. Seterusnya sapukan mentega pada loyang dan tuangkan adunan ke dalam loyang. Bakar adunan di dalam ketuhar sehingga nampak garing di tepinya. Bakar sehingga lebih kurang 45 minit.

Kari Dabel @ Devil Curry

Bahan-bahan dalam pembuatan Kari Dabel ialah seekor ayam yang dipotong kecil-kecil, 4 biji ubi kentang dipotong empat, 100 ml minyak masak, sedikit cuka dan garam. Manakala bahan-bahan yang digunakan untuk dikisar ialah 40 biji cili kering, 5 biji bawang besar, 2 inci kunyit basah, 2 inci lengkuas, 6 biji buah keras, 1 sudu besar biji sawi, 4 biji bawang putih dan 2 helai daun limau. Cara membuatnya ialah dengan panaskan minyak, kemudian tumiskan bahan kisar sehingga naik bau. Lepas itu masukkan ubi kentang bersama ayam. Biarkan sehingga ayam dan kentang empuk. Setelah mendidih masukkan sedikit cuka dan garam.

Pulut Urap

Terdapat dua jenis bahan yang digunakan dalam pembikinan kuih ini iaitu bahan-bahan untuk pulut dan bahan-bahan untuk urap kelapa. Bagi pulut, bahan-bahan yang digunakan ialah 500 gm pulut, 2 sudu besar minyak masak dan air serta garam secukupnya. Manakala bagi bahan urap kelapa pula ialah 350 gm kelapa parut (putih), 3 sudu besar gula tebu dan garam secukupnya. Bahan-bahan untuk urap kelapa ini digaul sebati. Bagi membuatnya, pulut direndam dahulu kira-kira 30 minit kemudian dimasak di atas kuali dengan air secukupnya dan dimasukkan garam secukup rasa dan sedikit minyak masak. Tujuan dimasak menggunakan kuali adalah untuk menghasilkan sedikit kerak. Kemudian pulut diangkat dari kuali lalu dikukus pula. Akhirnya pulut yang telah masak ditaburkan dengan urap kelapa dan sedia dimakan.

Abok-abok

Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat kuih ini ialah 500 gm sagu mata ikan, 300 gm kelapa parut (putih), 300 gm gula Melaka, 100 gm gula tebu dan daun pisang yang digunakan untuk dibuat kelongsong. Pada mulanya sagu dicuci dan ditiriskan. Sagu yang telah ditiriskan dibahagikan kepada dua di mana ½ daripadanya dicampurkan dengan air bunga telang bagi menghasilkan warna kebiru-biruan. Kelapa parut juga dicampurkan dengan sagu. Ambil kelongsong dan masukkan sagu yang bercampur air bunga telang dilapisi dengan gula Melaka dan seterusnya sagu berwarna putih. Kemudian sematkan kelongsong dengan lidi agar sagu tidak terkeluar lalu dikukus sehingga masak.

Apom Bakua

Kuih ini merupakan kuih yang dihidangkan bersama kuah pisang. Bahan-bahan yang disediakan untuk membuat kuih ini ialah 300 gm tepung beras, ½ cawan nasi, ½  cawan santan, 1 ½ cawan air, sedikit garam, 1 sudu kecil yis, 2 sudu kecil gula dan ½  cawan air. Cara memasak dimulakan dengan mencampurkan dan kisar tepung beras, nasi, santan, air dan sedikit garam untuk membentuk adunan. Seterusnya campurkan sekali bahan-bahan selebihnya ke dalam adunan tadi. Setelah selesai menyediakan adunan, tinggalkan selama 1 jam. Bila adunan telah naik, panaskan acuan atau kuali kecil dan masak atas api kecil. Sukatan yang sesuai digunakan ketika memasak kuih ini ialah sesenduk per kuih, tutup kuali dan biarkan beberapa minit sehingga masak.

Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat kuah pisang pula, sediakan 1 biji telur, ½  cawan air, ½  cawan gula Melaka, 1 cawan santan, ½  cawan pekat santan, 1 sudu besar tepung jagung, daun pisang dan 3 biji pisang masak.  Cara penyediaan kuah ini, masukkan bahan-bahan seperti telur, air, gula Melaka dan santan ke dalam periuk dan kacau atas api kecil, jangan dibiarkan sehingga mendidih. Setelah itu, masukkan buah pisang yang telah dipotong kemudian masukkan bahan-bahan selebihnya dan biarkan masak.

Pulut Tatal

Terdapat 2 jenis bahan yang perlu disediakan untuk menyediakan kuih ini iaitu bahan-bahan untuk pulut dan bahan-bahan untuk kuah santan. Bagi pembikinan pulut, sediakan 600 gm pulut (dibasuh dan direndam selama 4 jam), 250 ml santan cair yang dicampur dengan secubit garam, 150 ml santan pekat dan air bunga telang. Cara memasak dimulakan dengan mencampurkan pulut dengan campuran santan cair dan dikukus selama 15 minit. Pulut yang telah dikukus dikeluarkan, digaul dengan santan pekat dan dikukus semula sehingga masak dan sedikit lembut. Seterusnya, pulut dikeluarkan semula dan ½ digaulkan dengan air bunga telang dan dikukus 5 minit. Setelah itu, pulut dikeluarkan dan ditekan dalam dulang yang dialas daun pisang kemudian ditekan dengan benda berat selama 4 jam. Apabila telah sejuk, pulut dipotong dan dimakan bersama kuah santan.

Bahan-bahan yang diperlukan dalam memasak kuah santan adalah 2 cawan santan cair ditambah sedikit garam, daun pandan, 1 cawan pekat santan, 1 sudu besar tepung jagung dan gula tebu.  Cara memasak dimulakan dengan memasukkan campuran santan ke dalam periuk dan kacau atas api kecil sehingga mendidih kemudian masukkan bahan-bahan selebihnya dan biarkan masak.

Urap Nyamik

Kuih ini merupakan kuih berasaskan ubi yang mudah disediakan dengan menggunakan bahan-bahan ringkas. Terdapat 2 jenis bahan-bahan yang diperlukan untuk melengkapkan kuih ini iaitu bahan-bahan untuk ubi dan bahan-bahan untuk urap kelapa. Bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak ubi hanyalah 1 kg ubi kayu dan sedikit garam. Manakala bahan-bahan yang perlu disediakan untuk membuat urap kelapa ialah 300 gm kelapa parut putih, 3 sudu besar gula tebu dan garam secukupnya. Cara penyediaan ialah ubi perlu dibersihkan terlebih dahulu dan dipotong sebesar 3 inci. Ubi direbus dengan garam sehingga masak. Untuk penyediaan urap kelapa pula, campurkan kesemua bahan ke dalam 1 bekas. Setelah ubi masak, ubi itu boleh dihidangkan dan dimakan bersama urap kelapa.

TOP Skip to content