×

WAKTU OPERASI PEJABAT

Isnin : 9.00am - 5.00pm
Selasa : 9.00am - 5.00pm
Rabu : 9.00am - 5.00pm
Khamis : 9.00am - 5.00pm
Jumaat : 9.00am - 5.00pm
Sabtu : TUTUP
Ahad : TUTUP

WAKTU OPERASI MUZIUM

Isnin : TUTUP
Selasa : 9.00am - 5.30pm
Rabu : 9.00am - 5.30pm
Khamis : 9.00am - 5.30pm
Jumaat : 9.00am - 5.30pm
Sabtu : 9.00am - 5.30pm
Ahad : 9.00am - 5.30pm

FORGOT YOUR DETAILS?

Muzium Orang Asli

PENGENALAN

Latar Belakang

Sejarah membuktikan bahawa Orang Asli sebenarnya berasal dari negara jiran seperti Champa, Indo China, Burma dan Sumatera. Walaupun mereka serumpun dengan orang melayu dan terdapat persamaan dari segi fizikal dan juga adat tetapi mereka merupakan suku kaum yang pertama datang ke Tanah Melayu sebelum tahun 1304.

Kedatangan kumpulan kedua dipercayai berasal dari Palembang, Sumatera. Orang Asli kumpulan ini kebanyakkan tinggal di kawasan selatan Tanah Melayu seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor. Antara suku bangsa yang terlibat seperti Jakun, Semelai, Temuan dan Semai. Paras rupa dan budaya hidup mereka ada persamaan dengan Orang Melayu dan Orang Asli. Sebagai contoh 70% bahasa Orang Asli suku bangsa Jakun menggunakan Bahasa Melayu. Begitu juga dari segi penggunaan nama gelaran seperti Panjang, Kumtum, Ajidin

, Angah, Alang, Atih dan Busu turut digunakan oleh Orang Asli. Walau bagaimanapun Tamadun Islam di Sumatera telah mempengaruhi budaya kumpulan ini. Suku Semelai masih mengamalkan adat istiadat berkhatan untuk anak lelaki dan sudah menjadi kebiasaan mereka setiap upacara jampi serapah dimulakan dengan bacaan "Bismillah" dan diakhiri dengan "selawat".

Hubungan yang erat antara Orang Asli dan Orang Melayu menjadi renggang kerana Orang Asli telah diperalatkan dan dijadikan hamba dan orang suruhan. Ini menimbulkan kemarahan Orang Asli sehingga tercetusnya "Perang Sangkel" yang menyebabkan Orang Asli lari jauh membawa diri dan menetap terus di Pedalaman hingga ke akhir ini.

Seperti Orang Melayu Orang Asli juga termasuk dalam golongan Bumiputera. Hak dan keistimewaan mereka termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Akta 134 (Akta Orang Asli).

Muzium Orang Asli pada asalnya terletak di dalam Hutan Rekreasi Ayer Keroh di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka sebelum dipindahkan ke tapak bersebelahan dengan Taman Buaya oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) pada bulan Disember 1998.

Muzium ini di bina berdasarkan replika rumah Orang Asli mempamerkan sosio-budaya masyarakat Orang Asli serta adat istiadat perkahwinan, adat kematian Orang Asli, rumah-rumah Orang Asli, kehidupan seharian seperti menangkap ikan, aktiviti menyumpit dan perburuan, kraftangan dan kejayaan yang pernah ditempa oleh Orang Asli.

Objektif Penubuhan Muzium Orang Asli

  1. Mengabadikan sejarah silam masyarakat Orang Asli
  2. Mengumpul serta mempamer semula warisan budaya dan peninggalan masyarakat Orang Asli.
  3. Sebagai pusat sumber penyelidikan sejarah serta budaya masyarakat Orang Asli bagi generasi akan datang.

Siapa Orang Asli

Istilah ‘Orang Asli’ diperkenalkan dalam Bahasa Melayu pada tahun 1950an untuk merujuk kepada beberapa kelompok kecil manusia khususnya yang mendiami kawasan pedalaman dan pinggiran di Semenanjung Malaysia. Barang kali unsur-unsur misteri dan kekaburan dihubungkait dengan kewujudan dan asal usul Orang Asli serta aspek magis dan ritual yang terkenal di kalangan mereka, maka Orang Asli sering dianggap sebagai manusia ‘primitif’.

Realitinya, pandangan ini tidak tepat sama sekali. Dari segi teknologi moden mereka mungkin ketinggalan dan miskin namun dari segi sudut seni budaya yang telah wujud sejak berkurun lamanya, terdapat ciri-ciri kehidupan yang unik, saling membantu antara satu sama lain dan intim dengan alam semulajadi.

Masyarakat Orang Asli hidup dengan selesa di kawasan pedalaman tanpa bergantung secara mutlak kepada perdagangan dengan dunia luar dan pada masa yang sama boleh mempertahankan cara hidup dan budaya mereka. Masyarakat ini tidak menghadapi masalah kesihatan yang ketara dan hidup bebas dari pengaruh dan mainan politik yang terpaksa dilalui oleh masyarakat lain.

Jumlah penduduk Orang Asli ialah 149,723 orang (sumber dari  Buku Data Maklumat Asas, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia, terbitan tahun 2004) yang terbahagi kepada 18 suku bangsa dan bahasa. Sebahagian besar bahasa tersebut diklasifikasikan sebagai bahasa Mon-Khmer. Orang Asli terbahagi kepada tiga kumpulan bangsa utama yang mempunyai ciri-ciri khusus iaitu Bangsa Negrito, Bangsa Senoi dan Bangsa Melayu Proto. Sejak beberapa abad yang lalu kadar percampuran dan interaksi antara ketiga-tiga kumpulan bangsa Orang Asli adalah begitu luas sama ada melalui perdagangan, perkahwinan atau dalam kontek akibat pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan pedalaman.

Sebagai contoh, Bangsa Negrito hanya berkahwin dengan bangsa mereka dari lembah yang lain, tetapi dewasa ini cara sedemikian bukan lagi menjadi pegangan hidup mereka atau sesuatu yang perlu ditaati. Corak hidup mereka kini lebih bebas dan mereka lebih suka memilih pasangan hidup sendiri. Orang Asli sekarang boleh berkahwin dengan mana-mana bangsa Orang Asli serta bangsa-bangsa lain.

Jesteru itu penggunaan istilah ‘primitif’, ‘mundur’ atau mempunyai nilai-nilai negatif sudah lapuk dan tidak digunakan lagi. Ini kerana sudah ada diantara mereka yang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi dan telah berjaya di dalam bidang perniagaan serta bekerja sebagai eksekutif dalam sektor awam dan swasta.

Sejak berakhirnya perang dunia kedua, Orang Asli memainkan peranan utama dalam politik iaitu membenteras ideologi dan gerakan bersenjata komunis. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli  telah ditubuhkan oleh Pentadbir Inggeris  sebaik sahaja perang tamat bertujuan untuk mengawasi keselamatan negara ini. Keadaan demikian membuka lembaran baru di dalam kehidupan Orang Asli iaitu zaman pertembungan ideologi asing yang pada ketika itu amat sukar sekali difahami dan apatah lagi untuk diterima oleh mereka.

Namun begitu, Orang Asli telah dapat menyesuaikan diri mereka dengan setiap perubahan dan suasana baru disamping dapat mempertahankan keunikan nilai hidup mereka daripada dicemari oleh gejala-gejala asing. Dalam menghadapi unsur-unsur luar dan cabaran hidup masa depan, telah menyedari kepentingan untuk mengekalkan indentiti mereka dalam konteks masyarakat Malaysia.

Walaupun banyak unsur kebudayaan Orang Asli telah hilang di telan zaman namun masih terdapat unsur-unsur seni yang boleh dikaji dan diketengahkan. Apa sebenarnya wujud disebalik natijah dan penghasilan seni dan budaya Orang Asli? Pameran yang diadakan ini sebenarnya bertujuan memberikan sebahagian jawapan kepada keseluruhan persoalan ini.

seri-melaka-3
seri-melaka-3
seri-melaka-1
TOP Skip to content