×

WAKTU OPERASI PEJABAT

Isnin : 9.00am - 5.00pm
Selasa : 9.00am - 5.00pm
Rabu : 9.00am - 5.00pm
Khamis : 9.00am - 5.00pm
Jumaat : 9.00am - 5.00pm
Sabtu : TUTUP
Ahad : TUTUP

WAKTU OPERASI MUZIUM

Isnin : TUTUP
Selasa : 9.00am - 5.30pm
Rabu : 9.00am - 5.30pm
Khamis : 9.00am - 5.30pm
Jumaat : 9.00am - 5.30pm
Sabtu : 9.00am - 5.30pm
Ahad : 9.00am - 5.30pm

FORGOT YOUR DETAILS?

GALERI WARISAN PORTUGIS

Adat Perkahwinan Tradisional Masyarakat Portugis

Sepertimana kaum minoriti yang lain iaitu Baba Nyonya dan Chetti, perkahwinan masyarakat Portugis juga mempunyai keunikan yang tersendiri yang menggabungkan dua budaya iaitu Barat dan Timur. Ini berlaku kerana cara hidup masyarakat Portugis yang banyak dipengaruhi oleh budaya tempatan dan pada masa yang sama mereka terus mengamalkan adat resam masyarakat Portugis itu sendiri.

Di dalam adat perkahwinan masyarakat Portugis beberapa peringkat bakal berlangsung bermula daripada adat merisik, pertunangan dan seterusnya acara kemuncak ialah majlis persandingan.

Terdapat juga pantang-larang masyarakat Portugis pada zaman dahulu tentang perkahwinan di mana setiap perkahwinan perlu kekal sehingga mati iaitu tidak dibenarkan untuk bercerai atau berkahwin lain selagi pasangan masih hidup. Sekiranya berlaku juga perceraian, mereka tidak dibenarkan berkahwin selagi bekas suami atau isteri masih hidup. Selain itu, menurut

hukum agama, perkahwinan hanya sah jika dilakukan di gereja. Justeru, kepatuhan terhadap agama adalah penting dan sekiranya perkahwinan dilakukan di tempat selain gereja ianya dianggap tidak sah.

Adat Merisik

Langkah tradisi pertama bagi seseorang lelaki untuk mendapatkan pasangan hidup adalah dengan merisik. Ini dimulakan dengan keluarga pihak lelaki menghantar wakil ke rumah pihak wanita bagi mengetahui lebih lanjut mengenai latar-belakang dan kedudukan wanita yang hendak diperisterikan. Sepertimana adat kaum Melayu, adat merisik ini juga diselitkan dengan kiasan-kiasan serta berbalas pantun antara kedua-dua pihak.

Walau bagaimanapun, adat merisik di kalangan masyarakat Portugis sudah tidak lagi dipraktikkan kerana kurangnya minat serta tiada lagi individu yang berkemahiran untuk melakukannya. Tambahan pula, generasi kini telah bebas bergaul dan telah berkenalan sesama sendiri untuk memilih pasangan hidup.

Majlis Pertunangan

Setelah merisik dan telah diketahui wanita yang hendak diperisterikan belum dimiliki oleh sesiapa lagi, maka adat seterusnya adalah bertunang. Di dalam adat ini, seramai 6 hingga 7 orang pihak lelaki akan bertandang ke rumah pihak wanita dengan membawa beberapa hadiah atau hantaran termasuk dua botol arak dan cincin pertunangan.

Semasa pihak lelaki sampai di rumah pihak wanita, mereka akan berbalas pantun sebelum masuk ke dalam rumah. Pantun yang diajukan oleh pihak wanita perlu dijawab oleh rombongan pihak lelaki. Setelah masuk ke dalam rumah, pihak lelaki akan menyerahkan hadiah berupa hantaran kepada pihak wanita kemudiannya dijalankan acara menyarung cincin pertunangan di jari wanita yang ingin diperisterikan. Selesai majlis pertunangan, para tetamu akan dijamu dengan jamuan ringan.

Majlis Perkahwinan

Pertunangan kebiasaannya diikat selama enam bulan hingga setahun bergantung kepada persetujuan kedua-dua belah keluarga. Setelah tempoh pertunangan hampir tamat, mereka akan menetapkan tarikh hari perkahwinan kedua-dua bakal mempelai. Pihak lelaki juga mula menghantar duit belanja kepada pihak wanita mengikut jumlah yang dipersetujui.

Bagi majlis perkahwinan kebiasaannya mengambil masa selama empat hari iaitu Khamis hingga Ahad. Pada hari Khamis masyarakat kampung akan bergotong-royong untuk membina khemah dan pentas. Pada malam Jumaat pula pasangan pengantin akan diraikan dengan minuman keras dan pelbagai makanan yang terdiri dari ikan dan sayur-sayuran sambil diiringi oleh persembahan nyanyian dan tarian.

Acara kemuncak ialah pada hari Sabtu di mana pasangan pengantin wanita akan mengenakan pakaian kebaya sutera berwarna putih dan dihiasi dengan barang-barang kemas. Pengantin lelaki pula akan mengenakan sut berwarna hitam atau putih, bertopi bulat dan bow tie dipakai di leher.

Upacara pernikahan lazimnya diadakan di gereja. Upacara ini dilaksanakan oleh seorang paderi dengan disaksikan oleh ibubapa dan saudara-mara terdekat kedua-dua belah pihak. Selesai acara pernikahan, pasangan mempelai diraikan di dalam dewan atau balai. Kehadiran pasangan pengantin ini akan disambut oleh para tetamu dengan taburan bunga dan renjisan air wangi.

Para tetamu akan dijamu dengan makanan tradisi seperti kari dabel dan minuman keras sambil dipersembahkan dengan tarian Branyo. Majlis tari menari akan berterusan sehingga ke lewat malam. Pada hari Ahadnya pula, pasangan pengantin akan bertandang ke rumah saudara-mara kedua-dua pihak bagi meraikan saudara-mara yang penat membantu sepanjang majlis perkahwinan dijalankan.

TOP Skip to content