Pada awalnya masyarakat Portugis yang menetap di Perkampungan Portugis terdiri daripada para nelayan. Mereka sangat dekat dengan ilmu kelautan. Menangkap ikan dan hasil laut merupakan mata pencarian utama. Walaupun mempunyai pekerjaan tetap yang lain, masyarakat Portugis terus menjadikan kegiatan menangkap hasil laut sebagai pekerjaan sambilan sama ada untuk mencari pendapatan tambahan atau sekadar mencari lauk untuk keluarga. Peralatan yang digunakan untuk menangkap hasil laut adalah sama seperti yang digunakan oleh penduduk tempatan, antara yang digunakan ialah jaring, rawai dan langgai.
Kini, masyarakat Portugis berubah seiring perkembangan semasa. Walaupun masih ramai yang bekerjaya sebagai nelayan, namun terdapat penduduk kampung yang bekerja sebagai pegawai pejabat, pekerja kilang, peniaga, guru, pekerja hotel dan lain-lain pekerjaan sama seperti masyarakat lain di Melaka.