Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama. Setiap kaum dan agama mempunyai perayaan mereka yang tersendiri. Bagi kaum Melayu yang beragama Islam mereka menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Perayaan Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang penting dan diraikan khususnya oleh semua umat Islam tanpa mengira pangkat setelah selesai berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang istimewa kerana menandakan kemenangan umat Islam berpuasa, menahan diri dari makan dan minum serta melakukan perkara-perkara yang mungkar yang boleh membatalkan puasa. Di Malaysia, terdapat pelbagai tradisi yang menarik dilakukan khususnya untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.