Sejak dahulu lagi bangsa Portugis dikenali sebagai ahli pelayaran yang mahir dalam ilmu kelautan. Bangsa ini direkodkan sebagai bangsa Eropah pertama yang mempelopori laluan baharu bagi perdagangan rempah dan lain-lain bahan dagangan dari Hindia Timur. Pada pertengahan abad ke-15, bangsa Portugis telah berjaya belayar hingga ke Afrika apabila Bartholomew Diaz telah mengelilingi Tanjung Harapan pada tahun 1488 kemudiannya Vasco Da Gama sampai ke India pada tahun 1498. Mereka turut belayar mencari laluan lain ke Timur.
Lebih 500 tahun dahulu telah wujud bangsa Portugis di Melaka apabila Melaka jatuh ke tangan angkatan tentera Portugis yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque pada tahun 1511. Pertembungan budaya melalui perkahwinan campur antara Bangsa Portugis dengan penduduk tempatan telah menghasilkan masyarakat Portugis yang juga dikenali sebagai Serani yang terdapat di Perkampungan Portugis di Ujong Pasir pada masa kini. Hakikat ini telah mewarnai kepelbagaian etnik dan budaya yang terdapat di negeri Melaka.
“Maka segala orang Melaka pun berkampunglah melihat rupa Peringgi itu, sekaliannya hairan melihat dia. Maka kata orang Melaka ia ini Benggali putih; maka pada seorang orang Peringgi itu, ber-puluh-puluh orang Melaka mengerumun dia, ada yang memutar janggutnya ada yang menepuk kepalanya, ada yang mengambil cepiaunya, ada yang memegang tangannya.”
Petikan dari Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)