×

WAKTU OPERASI PEJABAT

Isnin : 9.00am - 5.00pm
Selasa : 9.00am - 5.00pm
Rabu : 9.00am - 5.00pm
Khamis : 9.00am - 5.00pm
Jumaat : 9.00am - 5.00pm
Sabtu : TUTUP
Ahad : TUTUP

WAKTU OPERASI MUZIUM

Isnin : TUTUP
Selasa : 9.00am - 5.30pm
Rabu : 9.00am - 5.30pm
Khamis : 9.00am - 5.30pm
Jumaat : 9.00am - 5.30pm
Sabtu : 9.00am - 5.30pm
Ahad : 9.00am - 5.30pm

FORGOT YOUR DETAILS?

GALERI WARISAN PORTUGIS

Sejarah Awal Kedatangan Portugis Ke Melaka

11 SEPTEMBER 1509

Diego Lopez de Sequeira telah mengetuai lima buah kapal dalam rangka ekspedisi bagi mewujudkan hubungan diplomatik dan perdagangan di Melaka. Pada awalnya, kehadiran pihak Portugis disambut baik namun pedagang Gujerat telah mengetahui perihal Portugis di India lantas menghasut Bendahara agar tidak berbuat baik dengan Portugis sekaligus menangkap orang Portugis. Ekoran daripada itu, seramai 18 orang Portugis telah ditangkap.

25 JULAI 1511

Pertempuran sengit telah berlaku antara askar-askar Portugis yang dipimpin oleh Alfonso de Albuquerque dan askar-askar Melayu serta askar-askar upahan Sultan Melaka yang terdiri daripada orang-orang Jawa. Ramai askar di kedua-dua pihak mengalami cedera parah dan mati. Akhirnya pihak Portugis terpaksa berundur ke kapal mereka membawa bersama askar-askar yang cedera. Kapten-kapten askar Portugis hendak pulang ke Goa, tetapi Albuquerque tetap ingin menakluki Melaka.

10 OGOS 1511

Alfonso de Albuquerque melancar serangan kedua. Kali ini, askar-askar upahan Sultan Melaka iaitu orang-orang Jawa tidak membantu. Sultan Ahmad sendiri telah menunggang gajahnya untuk memberi semangat kepada askar-askar Melayu namun masih gagal melawan serangan askar Portugis. Akhirnya Melaka ditawan.

24 OGOS 1511

Albuquerque mengeluarkan arahan supaya semua harta Kota Melaka dirampas, lantas askar-askar Portugis telah merampas kekayaan Kota Melaka dan Sultan. Harta yang dirampas termasuk kerusi-kerusi emas, pasu-pasu emas, ketulan emas, perkakas emas, batu-batu permata, kain sutera, wangi-wangian dan barang-barang lain yang berharga, serta antara 2000 hingga 3000 pucuk meriam tembaga.

14 JANUARI 1641

Melaka telah jatuh ke tangan Belanda. Pihak Portugis telah menaikkan bendera putih sebagai tanda menyerah kalah. Portugis telah menakluk Melaka selama 129 tahun, 3 bulan dan 4 hari. Komandan Belanda, Minne Williemson Kaartekoe yang tinggal di khemah berdekatan Kampung Keling memasuki Kota Portugis untuk berbincang dengan Gabenor Portugis Manuel de Souza Coutinho tentang penyerahan kuasa dan syarat-syarat penyerahan diri.

Pembukaan Perkampungan Portugis

Pendudukan Portugis di Melaka selama 130 tahun menyebabkan berlakunya perkahwinan campur antara bangsa Portugis dengan penduduk tempatan hingga melahirkan masyarakat Portugis yang terasimilasi dengan budaya masyarakat setempat. Masyarakat ini terus mendiami bumi Melaka dengan mempraktikkan budaya tempatan dan masih berpegang teguh kepada agama yang dianuti iaitu Kristian bermazhab Katolik.

Semasa pendudukan Belanda di Melaka, bangsa Portugis berada di dalam suasana tertekan disebabkan perebutan kuasa serta perbezaan mazhab iaitu Belanda bermazhab Protestan manakala Portugis bermazhab Katolik. Disebabkan tekanan ini, bangsa Portugis telah meninggalkan kawasan bandar dan mula menetap di penempatan baharu iaitu di Alor Gajah dan Melaka Pindah.

Hubungan baik di antara Portugis dan British akhirnya mengembalikan semula masyarakat Portugis ke kawasan bandar iaitu di sekitar Bandar Hilir, Tengkera, Bunga Raya, Kampung Tengah dan Kubu. Kesudahannya, pada tahun 1933 sebuah perkampungan khusus untuk masyarakat Portugis diwujudkan di Ujong Pasir, Melaka.

Dua orang golongan agamawan telah berperanan penting dalam penubuhan Perkampungan Portugis iaitu Rev. J. Pier Francois, paderi dari Gereja St. Francis dan Rev. A.M. Coroado, paderi dari Gereja St. Peter. Usaha ini telah dijalankan sejak awal tahun 1926. Rayuan penubuhan perkampungan ini telah dikemukakan kepada Mr. Reginald Crichton iaitu Residen Kaunselor British di Melaka dan Mr. E.Y.G. Day, Pemungut Hasil Tanah negeri Melaka, yang akhirnya bersetuju untuk menubuhkan penempatan khas untuk masyarakat Portugis.

Sebidang tanah kira-kira 28 ekar di Ujong Pasir telah dihadiahkan oleh pihak British untuk dijadikan perkampungan masyarakat Portugis. Ketika itu, nilai harga bagi hartanah ini adalah kira-kira $30,000.00. Sekitar kawasan perkampungan ini pada asalnya merupakan hutan paya yang dipenuhi pokok nipah.

Pada tahun 1930, pihak kerajaan melalui Public Works Department (Jabatan Kerja Raya) telah memulakan kerja-kerja menambak tanah yang mengambil masa selama 3 tahun. Selepas itu, sekitar tahun 1933, kawasan ini mula diduduki oleh masyarakat Portugis. Kampung ini turut dikenali sebagai Padre Sa Chao dalam bahasa Portugis yang memberi maksud ‘the priest land’. Pada awalnya Rev. J. Pier Francois telah memilih untuk menamakan perkampungan ini sebagai Kampung St. John (St. John Village) dan ia digunakan hingga sekitar tahun 1940-an namun lama-kelamaan dikenali sebagai Perkampungan Portugis.

Rumah tradisional di Perkampungan Portugis pada asalnya diperbuat dari kayu-kayan. Bahagian hadapan rumah mempunyai beranda yang kecil. Kulit-kulit kayu yang dicat dengan kapur berwarna putih dijadikan dinding di sebelah luar rumah. Atapnya pula diperbuat dari anyaman daun nipah.

Untuk memastikan kawasan penempatan masyarakat Portugis di negeri Melaka ini dilindungi, pada tahun 2002 Kerajaan Negeri Melaka telah mewartakan penempatan di Perkampungan Portugis di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 [Enakmen No. 6 Tahun 1988] dengan nombor warta Jil. 46 / No. 14 / 4 Julai 2002.

TOP Skip to content