Bengkel Ukiran Kayu Tembus
Ketika ini sedang berlangsung Bengkel Ukiran Kayu Tembus di Perkarangan Hadapan Bastion House, Jalan Kota, Melaka. Bengkel ini diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO kali ke-14.
Program bengkel selama satu hari ini menampilkan tenaga pengajar berpengalaman iaitu Encik Abdul Jalil bin Bahrim, pengukir kayu berpenglaman merangkap staf Muzium & Galeri Melaka. Bengkel ini terbuka kepada semua yang berminat dan para peserta terdiri dalam kalangan para pelajar, guru-guru sekolah rendah dan menengah dan para penjawat awam di seluruh Negeri Melaka.
Majlis perasmian telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Akramuddin bin Ab. Aziz, Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM.
Antara tujuan penganjuran bengkel ini adalah memberi manfaat kepada para peserta dalam usaha untuk nengekalkan kesenian ukiran kayu di Negeri Melaka khususnya. Ukiran kayu adalah seni yang cukup sinonim dengan identiti masyarakat Melayu, malahan ia telah wujud sejak berabad lamanya. Meskipun dianggap sebagai industri desa, namun ia mempunyai potensi cukup besar kerana dianggarkan terdapat 3,000 spesies sumber kayu di Negara ini. Kayu adalah bahan semula jadi yang sangat sesuai dijadikan ukiran dengan nilai estetika yang tinggi, selain digunakan sebagai komponen tambahan kepada produk lain serta banyak di gunakan dalam pembuatan perabot, kapal dan barang perhiasan.
- Published in Berita